Persatuan Bantuan Masyarakat Malaysia (PBMM) atau Community Relief Society (CRSM) adalah sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang ditubuhkan dibawah Akta Pertubuhan 1966 dan diluluskan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) dengan Nombor Pendaftaran PPM-031-10-06092012 pada 06 September 2012.

Sejak penubuhan, CRS Malaysia telah mempunyai 150 orang ahli dan mempunyai 5 Cawangan Negeri secara rasmi iaitu di Selangor (Disember 2014), Sabah (November 2017), Perak (Jun 2018), Terengganu (Disember 2020) dan Pahang (Jun 2021)

1. Persatuan ditubuhkan dan berfungsi berdasarkan objektif utama iaitu Pendidikan Kesihatan Kepada Masyarakat, Bantuan Kecemasan serta Bencana, Bantuan Amal Kebajikan dan Khidmat Kemasyarakatan.

2. Bagi tujuan Fasal 3.1 Persatuan akan menjalankan :
(1) Pendidikan Kesihatan Kepada Masyarakat
Mempromosikan, mendidik serta menganjurkan seminar, program dan aktiviti berkaitan kesihatan.

(2) Bantuan Kecemasan serta Bencana
Mewujudkan pusat setempat berkaitan kecemasan serta bencana disamping mempromosi, melaksanakan bantuan kecemasan yang berhubungkait ambulans, perubatan dan bantuan lain yang berkaitan.

(3) Bantuan Amal Kebajikan
Persatuan akan menjalankan aktiviti, menganjurkan program berdasarkan amal kebajikan untuk meringankan kemiskinan, mewujudkan tabung bantuan bagi tujuan membantu meringankan kesengsaraan walau dimana jua ianya berlaku.

(4) Khidmat Masyarakat
Persatuan akan menjalankan aktiviti masyarakat iaitu menganjurkan program yang berunsur penjagaan kebersihan, kesihatan dan membantu dalam program kebajikan yang melibatkan kepentingan masyarakat tanpa mengira bangsa, agama, keturunan dan kepercayaan.

3. Persatuan akan menjalankan aktiviti mengikut prinsip

MESRA –Sikap yang semestinya menjadi amalan setiap ahli ketika menjalankan tugas. Ini boleh diimplimentasikan dengan senyuman dan berprasangka baik terhadap mangsa-mangsa.

AMANAH – Setiap ahli bertanggungjawab dalam menjaga amanah yang diberikan oleh Persatuan. Keikhlasan dan kejujuran wajib menjadi teras dan sifat utama setiap ahli.

SIMPATI – Menunjukkan rasa ehsan, prihatin dan simpati setiap ahli kepada mangsa-mangsa bencana. Dengan cara ini, dapat mengubah diri ahli kepada seseorang yang lebih bertanggungjawab dan tahu erti kesusahan.

YAKIN – Melaksanakan tugas dengan rasa penuh yakin dan percaya pada diri. Keyakinan perlu ditanam dalam hati setiap ahli dalam menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan.

ARIF – Sentiasa mempertingkatkan ilmu dan kemahiran agar setiap tugas yang diberikan dapat disempurnakan. Ahli mesti arif dan bijaksana dalam menghulurkan bantuan serta hanya memberi pertolongan mengikut kemahiran.

RELA – Sentiasa bersiap sedia dengan rela memberi khidmat kepada masyarakat tanpa meletakkan kepentingan diri lebih dari tugas dan sentiasa mendukung semangat kerja berpasukan dalam kalangan ahli dan kakitangan persatuan.

ADIL – Bersikap tidak menyebelahi mana – mana pihak yang tertentu di dalam setiap tugas yang dilaksanakan. Para ahli dan kakitangan mesti adil dalam memberi bantuan kepada mereka yang memerlukan.

KOMITED – Menjadikan setiap ahli dan kakitangan persatuan komited dalam memberi khidmat kepada komuniti tanpa mengira waktu, tempat dan apa jua tugas yang diberi.

AUTONOMI – Sungguhpun Persatuan ini pada asasnya bergerak dan berkhidmat untuk negara, akan tetapi dalam konteks mendapatkan kepercayaan masyarakat seluruhnya, ia perlu mempunyai autonominya sendiri tanpa dipengaruhi mana –mana pihak.

TELITI – Setiap tugasan yang diterima mesti dilaksanakan dengan teliti dan bersungguh-sungguh. Walaupun pada dasarnya, Persatuan ini bertindak diwaktu kecemasan yang tidak terduga, tetapi tidak semestinya ia dilakukan dengan tergopoh-gapah. Ia harus dijayakan dengan pantas, tabah, dan teratur.