PERUTUSAN TAHUN BAHARU 2023 DARI MEJA PENGERUSI KEBANGSAAN.

Assalamualaikum warah matullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah.. 2023 telah pun menjengah kita. Meninggalkan pahit dan manisnya 2022. Setiap dari kita perlu menyedari bahawa waktu sentiasa berputar. Tanpa pernah berhenti walau sedetik. Lantas, ianya memberi makna kepada kita bahawasanya jangan pernah kita alpa dalam menjalani kehidupan kerana yang pastinya waktu tak akan kembali ke belakang.

Begitu juga hal nya dengan kami di CRS Malaysia. Kami terus melangkah dengan rasa bangga di tahun 2022 yang lalu kerana ianya menandakan bahawa umur organisasi ini telah memasuki tahun yang ke sepuluh (10) penubuhannya.

Mengimbau kembali sorotan 2012 sehingga 2022 yang menyaksikan perjalanan dan pergerakan kami yang progresif dan terus melangkah. Pelbagai cabaran yang kami tempuhi walau tidak lah sehebat mana, namun tetap memberi impak kepada kami sedikit sebanyak.

2022 menyaksikan penampilan kami yang telah mula menampakkan kematangan dan kejituan. Sebagai sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan, kami terus memberikan khidmat yang diperlukan kepada masyarakat. Antara Perkhidmatan yang signifikan dan memberikan impak kepada masyarakat adalah Perkhidmatan Ambulans.

Perkhidmatan Ambulans kami terus menjalankan amanah dan tugas yang telah diberikan dengan baik dan pantas. 2022 juga menyaksikan segala program dan acara telah boleh dijalankan setelah 2 tahun kita tersekat di sebab kan COVID-19. Ini menjadikan Perkhidmatan Ambulans kini terus menjadi 'segar' semula.

CRS Malaysia telah memberikan khidmat bakti melalui Perkhidmatan Ambulans di Dataran Merdeka sempena Sambutan Hari Kebangsaan Ke 65 yang mana ianya adalah penglibatan julung kali CRS Malaysia menerusi Divisyen Perkhidmatan Ambulans Nasional.

2023 ini bakal menyaksikan Perkhidmatan dan penglibatan CRS Malaysia akan lebih bererti dengan berjalannya Perkhidmatan Ambulans Komuniti yang dijenamakan semula sebagai Skim Program Penglibatan Komuniti atau Community Engagement Program (CEP).

CEP adalah sebuah Skim bukan Insurans, namun konsepnya menyerupai Skim Insurans yang mana ianya memberikan liputan Perkhidmatan Berasaskan Penjagaan Kesihatan kepada Komuniti. Merangkumi Perkhidmatan Ambulans Komuniti, Penjagaan Kesihatan dan Pemeriksaan Kesihatan secara berkala dan PERCUMA serta Kelas Latihan Bantu Mula yang akan dijalankan juga secara berkala dengan tawaran harga yang paling minimum.

2023 juga akan dijalankan beberapa siri program Pemeriksaan Kesihatan dan Derma Darah yang telah dan pernah kami jalankan sebelum pandemik dengan sasaran 4 program seumpamanya dalam tahun 2023 ini.

Majlis Sambutan Hari Ulangtahun CRS Malaysia Ke-10 juga akan dilaksanakan pada awal tahun ini yang sepatutnya dilaksanakan pada tahun lepas namun terpaksa ditangguhkan atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

Nantikan kemunculan kami yang bakal memberikan impak signifikan kepada masyarakat sesuai dengan motto kami, "Komited Kepada Masyarakat".

Mewakili seluruh Pimpinan di segenap peringkat, Pegawai kanan, Pegawai dan anggota, saya dengan sukacitanya mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT TAHUN BAHARU 2023.

Sekian, Terima Kasih.

YAS. KPjP (PBMM) Muhammad Faiz Maula Kamaruddin, RN, PKS, PKB, PJB, PKT, PKC, PKU, PBS, PPL (PBMM), PGK.
Pengasas Merangkap Pengerusi Kebangsaan / Ketua Pesuruhjaya,
Persatuan Bantuan Masyarakat Malaysia (PBMM).